Pasukan Pengakap Kelana C Gombak

Merupakan Pasukan Pengakap Kelana daripada bekas-bekas ahli pengakap remaja SMK Sungai Pusu.

Tuesday, April 28, 2009

Pengakap lahirkan insan madani, patriotik: TPM




KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Persekutuan Pengakap Malaysia sudah lama mendukung dasar kerajaan dengan menanamkan nilai murni kepada anggota sejak penubuhannya di negara ini 100 tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, secara sedar atau tidak, dasar kerajaan yang mahu membina insan madani dan mewujudkan semangat patriotisme ke arah konsep Satu Malaysia, tanpa mengira kaum seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah lama terlaksana.

"Saya ingin mengingatkan, pengakap sudah menimba ilmu, menjiwai (falsafah) yang telah jadi asas kemakmuran, asas kesetiaan. Pengakap juga bersemangat kesukarelawan, (menitik beratkan) perpaduan kaum dan integrasi nasional serta melahirkan generasi yang cergas, cerdas, berkeyakinan diri dalam membentuk jatidiri," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berucap demikian semasa majlis sambutan Ulangtahun ke-100 Persekutuan Pengakap Malaysia di Stadium Negara di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Agung Kehormat Pengakap Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Pengakap Negara, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Muhyiddin berkata sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kerajaan sentiasa memberi keutamaan menjayakan pengakap dan memberi kerjasama dalam menjalankan program yang dirancang.

Beliau juga menerima cadangan Abdullah supaya penambahbaikan dilakukan oleh Kementerian Pelajaran dalam memantapkan pergerakan itu di semua sekolah di seluruh negara.

Muhyiddin berkata dalam melakasnakannya, peranan ibu bapa sangat penting dan mereka diminta jangan menyekat pembabitan anak-anak di dalam pergerakan seumpama ini.

"Masyarakat juga kena beri sokongan padu seperti job training. Saya agak terkilan aktiviti ini tidak lagi aktif seperti zaman persekolahan saya dulu," katanya.

Beliau juga mencabar anggota pengakap merebut peluang mendapatkan pengiktirafan termasuk dari Kementerian Belia dan Sukan bagi meningkatkan martabat dan maruah pertubuhan pengakap negara ini.

Semasa mengulas sambutan 100 tahun penubuhan pengakap, Muhyiddin berkata tempoh masa itu lebih lama dari kemerdekaan negara ini sendiri dan oleh itu ia perlu disambut dengan penuh kesyukuran, dan tidak mungkin lagi dapat dirayakan sepanjang hayat.

Katanya, pengakap yang bermula dengan nama Anak Serigala terus tekun menjalankan aktiviti kebajikan walaupun kini namanya sudah bertukar kepada pengakap.

Sebelum itu, dalam ucapannya Abdullah berpesan kepada anggota dan pemimpin pengakap supaya membina persaudaraan dan perpaduan di kalangan anggota dan menjadikan taat setia sebagai satu nilai murni tanpa mengira agama, kaum dan perbezaan darjat.

Beliau juga menyeru pemimpin pengakap supaya memberikan contoh dan teladan yang baik berasaskan kepimpinan melalui teladan.

Abdullah berkata pergerakan pengakap, yang disertainya sejak di bangku sekolah lagi menjadi bekalan kepadanya untuk menjadi pemimpin sebelum ini.

Pada majlis itu, Abdullah juga menyampaikan anugerah kepada 100 pimpinan Pengakap di seluruh negara sempena sambutan ulang tahun pertubuhan itu. - Bernama

No comments: